Pantai Tanjung Bidara tidak seperti 20 tahun lalu
PANTAI peranginan Tanjung Bidara yang lebih popular dengan panggilan Perigi Lawa, Alor Gajah, tidak meriah berbanding 20 tahun lalu berikutan kemajuan industri pelancongan di pantai lain.
Berbeza dengan keadaan pantai sesak dengan pengunjung termasuk pelancong asing yang biasa dilihat kira-kira 20 tahun lalu, pantai berkenaan kini sepi dan muram akibat kekurangan pengunjung, apatah lagi pelancong asing.
Pengunjung, Suraya Mohd Ali, 56, berkata dia terkejut apabila mendapati Pantai Perigi Lawa sepi dan amat jauh bezanya dengan keadaan ketika beliau pertama kali mengunjunginya 20 tahun lalu.
"Saya tidak sangka keadaan di pantai indah ini sepi tanpa orang ramai pada hari cuti umum seperti hari ini.
"Semasa saya berkelah di sini 20 tahun lalu, agak sukar mencari tempat untuk membentang tikar untuk keluarga bersantai dan mandi manda kerana pengunjung terlalu ramai," katanya ketika ditemui di pantai itu, hari ini.
Suraya tiba dari Ipoh, Perak semalam kerana menghadiri majlis perkahwinan anak rakannya di Alor Gajah dan mengambil kesempatan mengunjung pantai Perigi Lawa hari ini sebelum pulang petang ini.
Mohd Kamil Jaafar, 43, dari Kuantan, Pahang berkata, semasa zaman remajanya, beliau pernah mengunjungi pantai itu untuk berkelah bersama rakan.
Katanya, kali ini dia hadir bersama tiga anggota keluarganya, tetapi agak terkilan apabila mendapati pantai berkenaan sepi.
"Saya difahamkan sekarang ada pantai peranginan lain seperti Pantai Puteri di Tanjung Kling dan Pantai Pengkalan Balak yang sudah dimajukan sebagai kawasan pelancongan menyebabkan Pantai Perigi Lawa sepi," katanya.
Sementara itu, Penyelaras Pasar Malam Tanjung Bidara, Nazlan Md Nazri, 56, berkata antara usaha memajukan semula industri pelancongan di Perigi Lawa ialah memindahkan Pasar Malam Jalan Tanjung Bidara-Solok Duku ke parkir kenderaan di Perigi Lawa mulai 17 Ogos lalu.
Katanya, selain bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di jalan itu, pemindahan berkenaan bertujuan mengembalikan kegemilangan Perigi Lawa sebagai destinasi pelancongan popular di Melaka.
_1598868112.jpg)